BERITA JABAR NEWS (BJN), Kolom OPINI, Rabu(26/08/2026) – Artikel berjudul “Life Behind: Kebebasan Jiwa antara Keteraturan dan Kekacauan” ini ditulis oleh Mohamad Hafiz Yahaya, seorang kurator seni rupa internasional.
Karya Life Behind (2026) oleh Moya Kamarudin memperlihatkan sebuah medan visual yang hidup, berdenyut, dan sentiasa bergerak. Dihasilkan menggunakan akrilik atas kanvas berukuran 70 × 100 sentimeter, karya ini tidak menawarkan imej representasi yang jelas, sebaliknya mengajak khalayak memasuki pengalaman dalaman manusia melalui warna, garisan, sapuan dan ritma.
Sebagai karya abstrak, Life Behind boleh dibaca sebagai gambaran perjalanan hidup yang terbentuk daripada pertemuan antara keteraturan dengan kekacauan, ketenangan dengan tekanan, serta harapan dengan cabaran.

Karya ini merupakan salah satu karya yang menyertai pameran “MERDEKA: Jiwa Yang Bebas” yang berlangsung di Galeri Al Biruni, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), UiTM Perak, dari 18 hingga 31 Agustus 2026. Selain menyertai pameran tersebut, karya Life Behind turut disumbangkan oleh pelukisnya, Moya Kamarudin kepada Galeri Al Biruni.
Sumbangan ini memperlihatkan komitmen Moya Kamarudin dalam menyokong perkembangan seni, serta memperkukuh hubungan antara seniman, institusi pendidikan dan ruang galeri. Moya Kamarudin juga merupakan Ketua Komunitas Lingkaran Seni, Bandung, yang aktif dalam menggerakkan kegiatan seni dan membina jaringan kreatif dalam kalangan penggiat seni.

Dari sudut ilmu formalistik seni, warna menjadi elemen paling dominan. Merah, jingga dan merah jambu memancarkan tenaga, keberanian serta keamatan emosi, manakala biru tua, hitam dan ungu mewujudkan kedalaman, konflik dan bayangan pengalaman.
Latar biru firus yang lebih terang berfungsi sebagai ruang pernafasan, sekali gus memperkuat kontras dengan himpunan warna panas di bahagian tengah. Pertembungan warna panas dan sejuk menghasilkan getaran optikal yang menjadikan permukaan kanvas terasa aktif. Sapuan berus yang panjang, kasar dan bertindih pula membentuk tekstur visual, seolah-olah merekodkan gerak tubuh, serta tenaga spontan artis ketika berkarya.
Komposisi karya berkembang secara memancar dari bahagian bawah kiri menuju bahagian atas dan kanan kanvas. Arah sapuan yang menyerupai ledakan menghasilkan pergerakan, irama, dan daya tujahan yang kuat. Walaupun kelihatan bebas dan tidak terkawal, pengulangan arah serta lapisan warna masih membina kesatuan komposisi.

Pada bahagian kanan bawah, garisan geometri berwarna hijau neon dan biru muda melintasi sapuan organik secara diagonal. Garisan yang bersih, lurus dan berulang ini menghadirkan unsur aturan, kawalan dan ketepatan. Kontras antara sapuan gestural dengan garisan geometri menjadi pusat ketegangan formal karya, namun kedua-duanya tetap diseimbangkan melalui warna dan arah pergerakan.
Konsep abstraksi dalam karya Life Behind tidak bergantung pada peniruan objek nyata. Sebaliknya, bentuk visual berfungsi sebagai bahasa emosi dan simbol pengalaman. Sapuan yang meledak boleh ditafsirkan sebagai tenaga kehidupan, ingatan, pergolakan atau perubahan yang berlaku di sebalik penampilan seseorang.

Garisan geometri pula boleh dibaca sebagai batas, struktur sosial, tanggungjawab atau aturan yang cuba menyusun kehidupan. Melalui pertembungan dua bahasa visual ini, Moya menampilkan realiti bahawa kehidupan manusia tidak pernah sepenuhnya teratur atau kacau. Keindahan muncul apabila kedua-dua keadaan tersebut diterima sebagai sebahagian daripada proses pembentukan diri.
Dalam konteks pameran “MERDEKA: Jiwa yang Bebas”, karya ini menyampaikan kebebasan bukan sebagai ketiadaan batas, tetapi sebagai keberanian untuk bergerak, memilih dan menyatakan pengalaman dengan jujur. Jiwa yang bebas tetap berhadapan struktur, tekanan dan cabaran, namun tidak membenarkan semua itu memadamkan daya hidupnya. Warna-warna terang yang menembusi lapisan gelap membayangkan ketahanan dan harapan, sementara arah sapuan yang keluar dari pusat memberikan rasa pembebasan.

Life Behind akhirnya menjadi metafora tentang manusia yang terus berkembang melalui jatuh bangun kehidupan. Karya ini mengingatkan bahawa kebebasan sejati lahir apabila seseorang mampu menerima kerumitan dirinya, mengolah konflik menjadi kekuatan dan menemukan keharmonian di tengah-tengah ketidaksempurnaan.
Sebagai kurator, saya melihat kekuatan karya ini terletak pada kemampuannya menyatukan spontaniti dan disiplin tanpa menghilangkan identiti setiap unsur. Khalayak tidak dipaksa menerima satu makna yang muktamad, sebaliknya diberikan kebebasan membina tafsiran berdasarkan pengalaman sendiri.
Keterbukaan inilah yang menjadikan karya Life Behind selari dengan semangat pameran: seni sebagai ruang pembebasan fikiran, emosi dan imaginasi manusia yang merentas sempadan dan budaya. Kehadiran karya ini di Galeri Al Biruni, ditambah pula dengan sumbangan Moya Kamarudin kepada galeri, turut memperkayakan koleksi serta pengalaman apresiasi seni dalam lingkungan akademik dan masyarakat.
***
Judul: Life Behind: Kebebasan Jiwa antara Keteraturan dan Kekacauan
Penulis: Mohamad Hafiz Yahaya
Editor: JHK